mutakhir

Padah usik meter elektrik

Oleh Mahaizura Abd Malik

MAHKAMAH Majistret Seri Manjung di Perak, semalam, membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menuntut bil terkurang caj sebanyak RM56,757.50 terhadap Ngu Ing Eak yang didakwa mengusik pepasangan meter elektrik di kolam udang miliknya pada 23 Januari 2014.

Majistret 'Ainul Bashirah Dona Don Diyajid membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap pengusaha kolam udang itu dengan kos tindakan dan faedah.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan terdapat kesan usikan pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB melakukan pemeriksaan ke kolam di Jalan Dato’ Seri Kamaruddin, Seri Manjung itu.

TNB diwakili peguam Prithi Verma mengemukakan writ saman pada 5 Mei 2016 ke atas pengguna berdaftar TNB itu selepas pemeriksaan mendapati dua jenis pengusikan meter dilakukan.

Ia membabitkan pemutusan pendawaian arus pendua antara alat ubah arus (CT) ke blok terminal ujian (TTB) pada fasa merah serta terdapat benda asing penyambungan pada pendawaian fasa merah, biru dan kuning.

Ngu diwakili peguam Kelvin Ding.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan selama dua hari pada 3 Ogos dan 11 September lalu.

TNB mengemukakan tiga saksi sepanjang perbicaraan manakala Ngu mengemukakan dua saksi.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya menunjukkan bukti munasabah bahawa pepasangan meter diusik.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 2:58pm
d