mutakhir

'Air masih bertakung'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“BANJIR kali ini agak teruk kerana sehingga hari ini, air masih bertakung menyebabkan saya tidak dapat mencuci rumah. Berbanding banjir besar 2010, ketika itu air cepat surut," kata mangsa banjir, Zulkifli Shafie, 43, dari Kampung Teluk, Mukim Bukit Pinang, Alor Setar.

Zulkifli berkata, selagi air sungai mengalir perlahan disebabkan sampah sarap terperangkap, rumahnya akan ditenggelami air.

Menurutnya, kali terakhir rumahnya dilanda banjir pada tujuh tahun lalu, namun ketika itu rumahnya hanya tiga hari ditenggelami air.

"Saya masih tidak boleh bekerja esok melihat keadaan rumah yang masih ditenggelami air selain pakaian ke tempat kerja tidak sempat diselamatkan.

"Kami juga hanya pulang sementara hari ini untuk melihat keadaan rumah dan perlu bermalam lagi di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurut Zulkifli, sebanyak lima buah rumah termasuk rumah adik beradiknya masih tidak boleh dicuci berikutan air masih bertakung.

"Saya tak pasti bila air ini akan surut sepenuhnya dan kerugian dianggarkan RM1,500 selepas beberapa barangan di dalam rumah rosak.

"Laporan polis juga sudah dibuat untuk rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menilai kerugian," katanya.

Menceritakan semula kejadian banjir itu, dia yang bekerja sebagai jurujual berkata, ketika kejadian itu dia berada di tempat kerja sebelum isterinya memaklumkan rumah mereka dilanda banjir kilat.

"Saya terus bergegas pulang ke rumah namun mujur ada beberapa barangan sempat dipindahkan ke tingkat atas hasil bantuan anak saudara namun pakaian termasuk baju kerja tidak sempat diselamatkan dan basah ditenggelami air.

"Air ketika itu setinggi paras paha dan bimbang dengan keselamatan, kami kemudian berpindah ke pusat pemindahan pada 7.30 malam," katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa banjir, Mohd Zamri Ismail, 31, berkata, ketika kejadian, hanya ibunya, Bunga Shafie, 64, yang berada di rumah kerana dia dan adik perempuannya Nur Fatin Ismail, 22, keluar bekerja.

"Bagaimanapun sebaik mengetahui rumah dilanda banjir saya terus bergegas pulang dan sebaik tiba terus membantu emak mengalihkan barangan yang sempat diselamatkan ke tingkat atas.

"Air naik terlalu pantas menyebabkan ada barangan termasuk perabot rumah tidak sempat diselamatkan dan rosak ditenggelami air," katanya yang turut berpindah ke SK Haji Abu Bakar.

Setakat 8 pagi ini, seramai 175 orang membabitkan 53 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah berkata, tiga PPS dibuka iaitu di Surau As Syakirin, SK Haji Abu Bakar dan SK Titi Gajah.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 3:42pm
d