mutakhir

Suami isteri kantoi lalok

Oleh Nabihah Kamal

 

SUAMI isteri ditahan di bangsal di Ukay Perdana, Ampang ketika leka menghisap syabu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Ampang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Dalam serbuan 10 pagi itu, suami isteri yang masing-masing bekerja sebagai peniaga itu sama-sama 'lalok' ketika tiga anak mereka ke sekolah.

Penyelaras Operasi AADK, Mohd Alam Shah Hamdan berkata, hasil ujian air kencing terhadap suami isteri berusia 36 dan 44 tahun itu mendapati mereka positif syabu.

"Lelaki berkenaan mengaku mula menagih dadah sejak empat tahun lalu manakala isterinya mula menagih dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Katanya, hasil kerjasama dengan MPAJ bangsal yang dijadikan 'port' menghisap dadah itu dirobohkan.

"Kita bekerjasama dengan MPAJ untuk merobohkan semua lokasi serbuan yang dijadikan 'port' penagihan selaras dengan Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan," katanya.

 

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 7:38pm
d