mutakhir

Sinar baru [METROTV]

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Keceriaan terpancar pada wajah pemenang dua pingat emas angkat berat di Sukan SEA 2003 dan 2005 Che Mohd Azrol Che Mat selepas nasibnya mula mendapat perhatian.

Dia yang kini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, akibat jangkitan kuman dalam paru-paru selain mengalami masalah buah pinggang, hati dan limpa mengakui gembira selepas penderitaannya disiarkan Harian Metro mendapat perhatian Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Katanya, Timbalan Pengarah MSNT Mohd Sabri Abas melawatnya petang kelmarin sekali gus memberi sinar baru selepas dua minggu terlantar di HSNZ.

Sebelum itu, dia turut dikunjungi wakil Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang berjanji membantu kos perubatan bekas atlet terbabit.

“Ketika kunjungan Mohd Sabri, saya ada maklumkan kepada beliau agar dapat memberi peluang kepada saya kembali berkhidmat sebagai jurulatih bagi mengenal pasti bakat baru angkat berat kerana sukan ini sebati dengan saya.

“Saya berharap permintaan untuk berkhidmat semula dengan MSNT tercapai kerana selagi kudrat masih ada, saya mahu mencurahkan pengalaman yang diraih selama ini,” kata Che Mohd Azrol yang berasal dari Kampung Losong.

Bekas atlet angkat berat negara itu menerima rawatan di HSNZ sejak 1 Oktober lalu sebelum dia meluahkan kekecewaan selepas tiada pihak mengunjunginya ketika dirawat di hospital hingga menyebabkannya berasa terpinggir walaupun pernah mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan angkat berat.

Pada 2015, Che Mohd Azrol terpaksa menamatkan perkhidmatannya sebagai jurulatih angkat berat di MSNT berikutan dijangkiti kencing tikus.

Lebih malang lagi apabila dia kini memerlukan RM2,000 sebulan untuk menampung kos perubatannya dan berharap ada pihak dapat membantunya.

Mohd Sabri berkata, MSNT bersimpati dengan nasib Che Mohd Azrol dan akan berusaha untuk membolehkannya kembali berkhidmat.

Menurutnya, sebaik Che Mohd Azrol keluar dari HSNZ dan kesihatannya stabil, MSNT akan mengadakan perjumpaan dengan atlet itu.

“Dia (Che Mohd Azrol) kini perlu mendapat rawatan hemodialisis sebanyak empat kali seminggu memaklumkan mahu bekerja semula bagi menampung kos perubatannya.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin dan membawa perkara ini kepada pengetahuan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri (Datuk Rozi Mamat) untuk mendapatkan pekerjaan sesuai dengannya.

“Saya belum dapat putuskan sama ada Che Mohd Azrol diterima semula atau sebaliknya kerana kami perlu melihat tahap kesihatannya terlebih dulu, selain keputusan pihak exco.

“Kami di MSNT berharap Che Azrol bersabar selain berharap masyarakat mendoakan wira negara ini kembali sembuh,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 7:52am
d