mutakhir

Posmen 'gembira'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Perkhidmatan penghantaran barangan bukan sekadar menyerahkan barangan kepada penerima namun turut menyelitkan elemen kejutan sehingga mampu menggembirakan hati penerimanya.

Itu yang dilakukan Siti
Norrafidah Md Zin, 31, dari Bintong, di sini, apabila menawarkan perkhidmatan menghantar hadiah kepada pasangan bertunang, ibu bapa, suami isteri dan sebagainya.

“Servis yang saya tawarkan adalah menghantar barangan kepada seseorang dan ia seakan-akan tampak seperti posmen namun sebenarnya cara saya menghantarnya dipenuhi dengan elemen kejutan.

“Tujuannya tidak lain untuk menggembirakan si penerima malah ia memang satu perkhidmatan yang khusus buat mereka yang ingin menggembirakan seseorang dengan penghantaran hadiah melalui orang ketiga,” kata kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu.

Menurut Siti Norrafidah, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pasangan bertunang, ibu bapa yang mahu memberikan kejutan kepada anak mereka malah pasangan suami isteri dan warga emas turut mendapatkan perkhidmatannya.

“Ada pelanggan saya yang menetap di Melaka dan tarikh kelahiran anak mereka sudah kunjung tiba namun tidak dapat menyambutnya bersama memandangkan anak mereka bersekolah asrama penuh di Perlis.

“Selepas menunaikan permintaan mereka, anak mereka menangis terharu kerana tidak menyangka kedua ibu bapanya menyambut hari kelahirannya meskipun berada berjauhan,” katanya.

Katanya, objektif perkhidmatan ditawarkan itu hanya untuk mengeratkan hubungan antara penghantar dan penerima di samping dirinya sendiri turut gembira selepas melihat orang lain terhibur.

Norrafidah berkata, dia antara yang menawarkan perkhidmatan termurah dengan serendah RM100 memandangkan hanya dia dan suaminya Nor Azlan Nordin, 33, yang bertungkus-lumus menjalankan perkhidmatan berkenaan.

“Kami tidak mempunyai orang ketiga atau rakan perniagaan kerana ia lebih mudah untuk kami berjumpa secara terus kepada penerima.

“Sebelum ini kami pernah mengupah seorang runner untuk menghantar hadiah kepada pelanggan, namun elemen kejutan diberikan tidak memuaskan hati pelanggan.

“Jadi kami memutuskan untuk tidak mengupah orang lain sebaliknya kami yang menghantar hadiah terbabit kepada penerimanya agar maklum balas pelanggan boleh dilihat secara terus di depan mata sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia pernah mengalami situasi yang mencemaskan apabila penerima yang ditemuinya bertindak menolak hadiah yang dihantarnya.

“Perkara berkenaan terjadi beberapa tahun lalu dan saya menemuinya selepas diminta pelanggan yang juga isterinya agar memberikan kejutan kepada suaminya di tempat kerja.

“Bagaimanapun, suaminya seolah mempertikaikan tindakan saya kerana seolah-olah mencampuri urusan rumah tangga keluarganya, bagaimanapun untuk tidak mengecewakan pelanggan saya memujuk lelaki berkenaan agar menerimanya dan beliau akur,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 8:05am
d