mutakhir

'Uish...! tak abih-abih bunuh'

Oleh Zulfa Mohamad

MAYAT lelaki dengan kesan kelar pada leher ditemui tertiarap di tepi Sungai Jarak, dekat Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, pada 7.30 pagi ini.

Mayat dipercayai mangsa bunuh itu ditemui orang awam yang melalui kawasan itu.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata sepasukan polis kemudian menemui mayat lelaki lengkap berseluar jeans dan berbaju-t.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan kelar pada bahagian depan dan belakang leher.

"Polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di tepi sungai itu. Kami percaya mayat baru dibuang berdasarkan kesan darah masih baru.

“Tiada pengenalan diri ditemui pada mayat itu tetapi polis percaya warga tempatan kerana ada kesan suntikan BCG pada bahu kiri,” katanya.

Noorzainy berkata, tiada senjata ditemui di kawasan berhampiran dan polis meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga agar membuat laporan di polis terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 12:55pm
d