mutakhir

Reman ahli politik sambung lagi [METROTV]

Oleh Norasikin Daineh

TAHANAN reman tiga ahli politik di Sabah bagi membantu siasatan kes penyelewengan RM1.5 bilion dilanjutkan tiga hari sehingga Selasa minggu depan.

Mereka adalah Ketua Wira Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Mohd Aizat Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Mereka sebelum ini ditahan reman lima hari bermula Selasa lalu.

Pada prosiding itu, SPRM diwakili oleh Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin.

Mohd Azis diwakili oleh beberapa peguam iaitu Martin Tommy, Loretto Padua Jr, Norazmi Alimat, Jaikol Situn, Cedric Choo dan Darell Leiking.

Jamawi diwakili barisan peguam, Arthur Borine, Shahlan Jufri, Mohd Azhier Farhan Arifin, Jafar Esteban dan Razali Razi.

Ariffin pula diwakili peguamnya Hamid Ismail.

Terdahulu, Mahkamah Majistret turut membebaskan ahli perniagaan berusia 52 tahun yang ditahan reman sembilan hari bagi membantu siasatan kes sama.

Suspek terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM dengan ikat jamin RM200,000 termasuk deposit RM100,000 deposit, dengan dua penjamin.

Sehingga ini, tujuh individu sudah ditahan di Sabah dan Putrajaya, termasuk empat ahli politik bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes berkenaan.

Di Sabah, dua lagi individu yang ditahan reman termasuk Naib Presiden WARISAN Datuk Peter Anthony, 46 dan adik kepada bekas menteri KKLW, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal iaitu Hamid Apdal, 52.\

Di Putrajaya, wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di kementerian itu turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan wilayah (KKLW).

Ia berdasarkan peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri itu antara 2010 dan 2015.

Berita berkaitan

SPRM dah kenal pasti 32 individu

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 5:25pm
d