mutakhir

Tak takut ditahan

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Segelintir individu masih tidak terkesan dengan usaha pihak berkuasa menahan penjual dan pembeli telur penyu apabila didapati terus menjual telur hidupan marin berkenaan secara secara terbuka kepada orang ramai di Pusat Bandar Sandakan, di sini.

Tinjauan mendapati lebih 20 individu disyaki penjual telur penyu berbuat demikian di kaki lima bangunan di Jalan Pryer dan Jalan Old Slipway, malah tanpa rasa bimbang turut melambai dan menunjukkan simbol telur penyu kepada pejalan kaki di kawasan berkenaan, semalam.

Malah, peniaga turut dilihat melambai-lambai ke arah pengguna kenderaan yang melalui jalan di kawasan bangunan tempat mereka berniaga.

Seorang kakitangan swasta mahu dikenali sebagai Farid, 40-an, berkata telur penyu terbabit dijual pada harga RM1 hingga RM1.50 sebutir berikutan kebanyakan penduduk setempat gemar memakan telur berkenaan yang sudah direbus.

“Mungkin disebabkan permintaan tinggi menyebabkan penjual telur penyu itu tidak kisah untuk menjualnya meskipun sedar bakal dikenakan tindakan undang-undang, jika ditangkap pihak berkuasa.

“Malah, penduduk tempatan juga mengetahui kawasan kaki lima di sekitar Pusat Bandar Sandakan menjadi lokasi penjual telur penyu, namun tidak dapat dipastikan sama ada penjual itu adalah warga tempatan atau warga asing.

“Mereka sudah berniaga di situ selama bertahun-tahun, dan bagai tidak takut pada pihak berkuasa kerana kebiasaannya mereka akan melarikan diri, jika ada serbuan,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, penjual itu tidak akan memegang telur penyu berkenaan, sebaliknya menyembunyikannya di lokasi berhampiran.

“Apabila ada pelanggan ingin membeli (telur penyu), barulah penjual itu ambil telur dan berikan kepada pembeli,” katanya.

Khamis lalu, seorang pembeli telur penyu ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan di Jalan Pryer, di sini.

Wanita warga asing berusia 50 tahun itu yang juga pemegang pas dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) ditahan kerana memiliki 27 biji telur penyu yang disimpan di dalam dua beg plastik berwarna hitam dianggarkan bernilai RM40.

Sementara itu, Pegawai JHL Sandakan Hussien Muin berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas 168 biji telur penyu dipercayai ditinggalkan penjual selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Katanya, operasi itu dijalankan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), JHL Sandakan dan Bahagian Penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

“Operasi akan dilaksanakan secara berterusan dengan tumpuan terhadap penjual dan pembeli telur penyu. Mereka boleh didakwa mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil haiwan yang dilindungi,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 6:50am
d