mutakhir

Rugi RM6 bilion setahun

Oleh Fitri Nizam

Chukai: Malaysia kerugian RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun selepas hasil lautnya dirompak nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agensi penguatkuasaan mengambil tindakan bagi mengekang pencerobohan dan rompakan hasil laut negara.

Menurutnya, nelayan tempatan bukan wira yang tak diendahkan, tetapi golongan itu wira tak didendang kerana mereka beri sumbangan besar kepada negara dan rakyat terutama daripada segi keperluan protein kepada masyarakat.

“Oleh itu, saya ingatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), polis marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya menangkap nelayan asing yang menceroboh dan merompak hasil laut kita.

“Pencerobohan nelayan asing adalah tindakan tidak menghormati undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Jarak 200 batu nautika dari pesisir pantai adalah hak negara terutama kepada nelayan tempatan untuk meraih hasil, justeru pihak berkaitan perlu ambil peduli,” katanya pada perasmian Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Pantai Kuala Kerteh, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datik Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ahmad Zahid pada sidang media berkata, beberapa langkah pencegahan diambil TLDM, APMM dan Jabatan Perikanan yang turut memberi tumpuan di Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan bagi membanteras pencerobohan ini.

Katanya, hasil laut negara sumber protein utama rakyat Malaysia dan kerajaan mahu mengelak mengimport sumber itu dari luar kerana ia tidak adil terutama kepada nelayan tempatan.

Selain itu, Ahmad Zahid meminta nelayan laut dalam membawa pulang hasil tangkapan ke negara ini bagi mengelakkan kerugian akibat tindakan segelintir mereka menjual hasil itu kepada peraih asing.

“Saya minta nelayan laut dalam membawa pulang hasil tangkapan mereka dan jangan jual kepada peraih asing di tengah laut kerana ia merugikan,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 6:55am
d