mutakhir

Zehra buah hati cikgu

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Kuala Lumpur: Berkenalan pada Februari dan merisik pada April lalu, penyanyi yang juga pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Zehra Zambri, 30, akhirnya bergelar isteri kepada Wan Muhammad Nurhariri Hariz Datuk Wan Mohd Effendi, 28, semalam.

“Perkenalan kami tidak ambil masa lama dan berharap bercinta selepas berkahwin itu lebih indah buat kami,” kata Zehra.

Pasangan itu dinikahkan bapa Zehra, Zambri Ahmad, jam 10.20 pagi, disaksikan keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua mempelai di lobi Dewan Perkasa, Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Semalakama itu menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, sebentuk cincin dan lima bekas hantaran berbalas tujuh bekas.

“Kami pernah melalui pelbagai ujian sebelum ini. Saya pernah putus tunang, manakala suami juga pernah lalui perkara sama,” katanya.

Zehra berharap, pengalaman dilalui mereka menguatkan lagi ikatan perkahwinan yang dibina ini.

Nurhariri yang juga guru di sebuah sekolah menengah di sini, menyifatkan kematangan Zehra membuatkan dia tertarik dengan penyanyi itu.

Malah dia berasa selesa untuk berbual ketika perkenalan pertama mereka.

Majlis resepsi berlangsung semalam di lokasi sama manakala majlis sambut menantu diadakan di kampung halaman Nurhariri di Kota Bharu, Kelantan pada 18 Oktober depan.

Pasangan itu memilih berbulan madu di Krabi, Thailand selepas majlis sambut menantu dan merancang melakukan umrah bersama keluarga, penghujung tahun ini.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 7:16am
d