mutakhir

1,865 minyak wangi tiruan dirampas

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kebanyakan minyak wangi murahan di pasaran dikesan mengandungi kimia metanol melebihi had dibenarkan sekali gus boleh menjadi punca keracunan kepada pengguna.

Kebanyakan minyak wangi ini bukan hanya menyebabkan kesan radang pada kulit malah turut boleh menyebabkan masalah kerosakan pada mata jika terkena semburan.

Bahan kimia pada minyak wangi yang disembur di pergelangan tangan, leher dan badan akan meresap melalui kulit dan menjadi punca sesak nafas.

Malah formalin di dalam metanol turut menjadi penyebab kanser hati jika diambil secara berterusan.

Menyedari bahaya itu, enam anggota penguatkuasa Kementerian Pemerdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur melakukan operasi bagi membenteras kewujudan minyak wangi tiruan di pasaran.

Serbuan bermula kira-kira jam 11 pagi kelmarin disertai enam anggota penguatkuasa KPDNKK Kuala Lumpur bersama wakil cap dagang di Plaza GM, di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, hasil pemeriksaan terhadap beberapa premis di lokasi berkenaan, pihaknya menemui sejumlah minyak wangi tiruan pelbagai jenama terkemuka.

“Minyak wangi berkenaan dijual secara terbuka di premis berkenaan pada harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Pemeriksaan di premis berkenaan menemui 1,865 minyak wangi tiruan pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM11,190,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 7:29am
d