mutakhir

Banduan lari dari lokap dah ditahan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS Johor berjaya menahan semula banduan yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Segamat dalam kejadian pada 12 Oktober lalu.

Polis Johor dalam kenyataan mengesahkan penahanan suspek lelaki pada jam 2 petang semalam menerusi operasi diaktifkan anggotanya.

"Satu operasi kesan yang diaktifkan berjaya mengesan suspek terbabit di Felda Bukit Jalor, Ayer Kuning Selatan, Tampin Negeri Sembilan.

"Ketika ditangkap suspek sedang baring berehat dan bergelut dengan polis ketika proses tangkapan dilakukan," katanya kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu dipetik hasil tangkapan dan soal siasat suspek mengaku mempunyai niat melarikan diri dari lokap pada 12 Oktober lalu.

Polis Johor mengucapkan terima kasih kepada pengamal media dan orang ramai yang membantu serta memberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

Sementara itu, Polis Segamat sebelum ini melancarkan Op Tutup dan Op Kesan bagi menahan seorang tahanan yang berjaya meloloskan diri dari Balai Polis Segamat, jam 9.30 pagi 12 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Raub Selamat berkata pihaknya menyedari suspek tiada dilokap kira-kira jam 9.30 pagi hari kejadian dan terus berusaha mengesannya di sekitar balai polis berdekatan.

Katanya, apabila tidak nenemui lelaki itu, pihaknya lelancarkan Op Tutup dan Op Kesan bagi menahan suspek yang beralamat terakhir di Taman Jementah di Segamat.

Terdahulu suspek Azrulnizam Ariff, 39, ditahan polis kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Berita berkaitan:

Buru tahanan lolos

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 3:06pm
d