mutakhir

Bantu ringankan beban

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

"SUMBANGAN yang diterima ini sedikit sebanyak memberikan kami semangat untuk menyambut kedatangan Deepavali," kata seorang ibu tunggal, M Walimah, 44 selepas menerima bantuan dalam program Pemberian Sumbangan Sempena Deepavali anjuran Nasmir Holding Sdn Bhd, hari ini.

Walimah berkata, sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian yang diterimanya itu sedikit sebanyak meringankan beban dan menceriakan dia dan dua anaknya pada sambutan Deepavali nanti.

Katanya, dia yang kini dibelenggu masalah kewangan selepas tidak dapat bekerja sejak dua hari lalu akibat tiada pengangkutan membuatkannya hilang sumber rezeki buat sementara waktu.

"Selain meneruskan kelangsungan hidup, saya juga perlu menyara persekolahan dua anaknya berusia 13 dan 15 tahun.

"Nasib baik masih ada jiran dan rakan-rakan simpati dan prihatin menghulurkan bantuan terutamanya barangan dapur sewaktu saya begitu memerlukan.

"Sejak kematian suami dua tahun lalu akibat kencing manis, saya hanya mampu bekerja sebagai tukang cuci yang memperoleh gaji cukup-cukup makan untuk menyara anak-anak," katanya yang tinggal di Bukit Tengah.

Walimah antara 70 individu kurang berkemampuan sekitar Parlimen Batu Kawan yang menerima duit raya dan barangan keperluan harian sempena Deepavali daripada Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak di Restoran Nasi Kandar Nasmir di Auto City, Juru, di sini.

Ketua Bahagian Indian Progressive Front (IPF) Batu Kawan, M Rajagopal berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Datuk Kadhar menghulurkan sumbangan berkenaan, sekali gus memberikan keceriaan kepada golongan berkenaan.

"Sumbangan sebegini amat dihargai buat kaum India yang kini giat melakukan persediaan menyambut ketibaan Deepavali, malah turut meringankan beban mereka.

"Program sebegini amat baik dan saya berharap ia dijadikan sebagai acara tahunan," katanya.

Sementara itu, Kadhar Shah berkata, program berkenaan membabitkan 200 penerima terdiri daripada kaum India membabitkan cawangan lain iaitu di Sungai Petani dan Kampar, Perak. "Kesemua mereka menerima duit raya dan barangan dapur sempena perayaan Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 6:17pm
d