mutakhir

'Tupai' si tokan ditangkap

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG lelaki tokan dadah dipanggil 'Tupai' dalam kalangan penagih dadah di kawasan Lubuk Merbau, Padang Terap, dicekup polis, Selasa lalu.

Suspek berusia 49 tahun itu dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Terap bersama anggota Balai Polis Naka menerusi Operasi Ops Tapis Bersepadu jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, anggotanya menahan lelaki terbabit ketika berjalan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Sungai Siput, Lubok Merbau di Naka.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui beg pinggang hitam yang dipakainya.

"Hasil siasatan lanjut beg itu berisi empat paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 153.82 gram dan empat paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 68.44 gram.

"Siasatan mendapati suspek adalah tokan dadah terbesar di kawasan Lubuk Merbau dan memperolehi bekalan dadah dari Pulau Pinang.

"Ketika ditangkap, suspek baru memperoleh bekalan dadah itu dari Pulau Pinang untuk diedar kepada penagih di kawasan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini hari ini.

Noh berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, malah pernah dipenjara sembilan tahun pada 2008 hingga 2016 kerana kesalahan dadah.

Beliau berkata, pihaknya juga sebelum ini pernah cuba menangkap suspek, namun gagal dan bernasib baik kerana berjaya menahannya kali ini.

"Suspek juga mempunyai rekod kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas), 1985, Seksyen 379 Kanun Keseksaan Bersangkut Jitra 8115/17, selain dikehendaki dalam kes curi kenderaan oleh IPD Pendang.

"Malah, dia juga dipercayai perancang utama kes melarikan kenderaan di sebuah stesen minyak di Bandar Darulaman, Jitra baru-baru ini dan kita akan serahkan kes ini ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya.

Noh berkata, suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan berusia 18 dan 24 tahun yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu gram syabu boleh dijual sehingga RM100 manakala satu gram heroin boleh dijual RM30 dan pihaknya turut merampas peralatan untuk menagih dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah morfin dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952kerana saringan awal air kencing positif dadah," katanya.

Noh berkata, suspek direman bermula 11 Oktober lalu hingga 17 Oktober ini untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 7:07pm
d