mutakhir

Belajar ikut PAK-21

Oleh Aizat Sharif

Kuala Nerang: Kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) yang dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada 14 Oktober lalu dijangka diperluaskan ke seluruh negara antara lima hingga 10 tahun lagi.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan PAK-21 kini terletak kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengumumkan peruntukan menerusi Bajet 2018 pada 27 Oktober ini bagi kerja mengubah suai kelas di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara supaya dapat menjadi kelas PAK-21.

Katanya, kementerian mahu bukan saja sekolah di bandar mengadaptasi kaedah ini bahkan sekolah di luar bandar juga merasai kaedah pembelajaran itu.

“Bagaimanapun, ketika ini pengubahsuaian kelas di sekolah bagi melaksanakan PAK-21 belum dilakukan secara menyeluruh, sebaliknya membabitkan dua atau tiga kelas saja di setiap sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Veteran UMNO Bahagian Padang Terap di Kampung Kubang Bemban, semalam.

Beliau berkata, apabila PAK-21 diterapkan di seluruh sekolah di negara ini suasana pembelajaran di kelas menjadi lebih interaktif apabila murid atau pelajar dapat berinteraksi menggunakan kecanggihan teknologi terkini.

“Setiap kelas PAK-21 akan mempunyai papan pintar atau smatboard menggantikan papan hitam atau putih dalam sesi pengajaran konvensional.

“Guru menjadi moderator terhadap topik pelajaran yang diajarkan manakala murid menggunakan gajet sebagai alat komunikasi terhadap pengajaran yang diajarkan.

“Papan pintar itu boleh digunakan untuk melakukan carian di Google terhadap topik yang diajarkan seperti geografi dan lain-lain,” katanya.

Sebelum ini, cadangan Kementerian Pendidikan pada peruntukan Bajet 2018 adalah berkemungkinan untuk mewujudkan 2,000 kelas PAK-21 di seluruh negara.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 8:59am
d