mutakhir

Pusaka ilmu arwah ibu

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: “Saya sangat berbangga dengan ibu walaupun sudah meninggal dunia, saya dapat rasakan arwah ada bersama kami di sini,” kata Amirul Najhan Nor Hisham, 19, yang mewakili arwah ibunya, Rose Hanida Jedin, 44, mengambil sarjana pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-87 pada sidang kedua di sini semalam.

Rose Hanida graduan Sarjana Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) meninggal dunia selepas diserang sakit jantung seminggu sebelum Ramadan pada 21 Mei lalu.

Amirul Najhan berkata, walaupun sedih kerana ibunya tidak dapat naik ke pentas, dia dan keluarganya sangat berbangga dengan semangat ditunjukkan ibunya bagi menghabiskan pelajaran.

“Walaupun sibuk menjadi pensyarah di kolej di Cheras, ibu juga perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu kerana menghidap penyakit buah pinggang. Namun begitu arwah berjaya menghabiskan pembelajarannya,” katanya.

Dia yang kini menyambung pelajaran di SEGi University & Colleges (SEGi) dalam bidang Diploma Seni Kulinari menjadikan arwah ibunya sebagai contoh, malah berazam menyambung pelajaran hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Seorang lagi yang menjadi wakil dalam konvokesyen semalam, Khamis Tom, 63, berkata, dia sedih apabila anaknya, Khairul Syafiq Khamis, tidak dapat hadir dalam majlis penuh bermakna itu.

Khairul Syafiq, 25, graduan Sarjana Sains Kuantitatif maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas pulang temu duga di Kuala Lumpur 31 April lalu.

“Dia memang budak yang baik. Dia pernah berkata pada kami sekeluarga yang dia tidak mahu hadir dalam majlis konvokesyen pada kali ini.

“Tak sangka perkara itu menjadi kenyataan namun kami sekeluarga berbangga dengan pencapaiannya,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 9:42am
d