mutakhir

Pesawat ringan GT500 Microlight disahkan berlepas tanpa kebenaran

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Pesawat ringan GT500 Microlight yang terhempas ketika melakukan penerbangan di Aerodrome Sungai Rambai, kelmarin, disahkan berlepas tanpa kebenaran daripada menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Ketua Polis negeri Datuk Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan DCA tidak menerima sebarang maklumat mengenai pelepasan penerbangan pesawat berkenaan yang dipandu Yen Yoon Fah, 53, dari Aerodrome Sungai Rambai pada hari kejadian (Sabtu).

“Siasatan dan semakan dijalankan DCA mendapati tiada permohonan dibuat untuk menerbangkan pesawat berkenaan. Bagaimanapun, semakan dilakukan mendapati juruterbangnya mempunyai lesen.

“Kami (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka) akan membantu polis Johor melengkapkan siasatan memandangkan pelepasan dilakukan di daerah Jasin manakala siasatan berkaitan aspek teknikal dijalankan DCA,” katanya pada sidang media Program Hari Sukan Negara Peringkat IPK Melaka, semalam.

Abdul Jalil berkata, pihaknya dimaklumkan pembantu juruterbang, Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang juga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 10:00am
d