mutakhir

Mahu elaun bandar raya, rebat pengangkutan awam

Oleh Mohd Nasif Badruddin

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan memperkenalkan elaun bandar raya dan rebat pengangkutan awam kepada kakitangan kerajaan dalam Bajet 2018 ini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, elaun bandar raya wajar dipertimbangkan bagi mengurangkan kenaikan kos sara hidup dihadapi penjawat awam yang berkhidmat di mana-mana lokasi bertaraf bandar raya.

Katanya, elaun itu menjadi satu keperluan baru kerana setiap pergerakan di bandar raya memerlukan kos untuk bayaran parkir, tol dan pelbagai lagi berbanding lokasi lain.

"Kita cadangkan kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 sebulan bagi elaun bandar raya ini.

"Kerajaan boleh tetapkan berapa radius bandar raya kepada penjawat awam yang layak menerima elaun ini seperti penetapan garis kemiskinan bandar kerana hari ini gaji RM3,000 ke bawah dianggap miskin bandar," katanya dalam sidang media di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesyorkan pemberian rebat kepada penggunaan pengangkutan awam sama ada bas atau mana-mana pengangkutan berteraskan rel di negara ini mulai Januari tahun depan.

Menurutnya, pengenalan kad diskaun kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu bukan saja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah mengurangkan perbelanjaan untuk parkir, bahan api dan tol serta memaksimumkan masa bersama keluarga.

Katanya, CUEPACS turut menuntut pemberian bonus satu setengah bulan gaji dan bukan lagi bantuan khas kewangan RM500 seperti diberikan kepada semua penjawat awam sejak tujuh tahun lalu.

"Kali terakhir kerajaan memberi bonus sebulan gaji pada 2009 dan selepas itu hanya bantuan khas kewangan RM500 setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, kadar pelepasan cukai untuk individu, suami/isteri, anak, ibu/bapa dan insurans nyawa juga perlu dinaikkan memandangkan kerajaan sudah memperoleh RM42 bilion hasil pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurutnya, semua 1.6 juta penjawat awam juga perlu dilindungi di bawah Skim Perlindungan PERKESO bagi menggantikan Ex-gratia yang hanya diberikan sekali oleh Kementerian Kewangan kepada penjawat awam ditimpa musibah.

Katanya, beberapa elaun dan skim lain yang sudah berbelas tahun tidak disemak wajar dikaji semula selain memendekkan tempoh kenaikan pangkat dan gaji penjawat awam.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 2:00pm
d