mutakhir

Kekal penjara 10 tahun

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas ahli perniagaan terhadap 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu, 11 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memutuskan demikian terhadap Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 66, yang juga bapa kepada pelakon Ummi Nazeera selepas menolak rayuan pihak pembelaan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Mohamad Shariff berkata, tiada sebarang kekhilafan yang ditinggalkan oleh hakim Mahkamah Sesyen ketika membuat keputusan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa semalam.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga 10, Zainulabadin yang diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos didakwa menggunakan dokumen palsu bagi memindah milik 1.68 juta unit saham syarikat Mutiara Efektif (M) Sdn Bhd, daripada Datuk Seri Maziah Musa, 53, selaku pemberi pindah milik, kepada anak tertuduh, Ahmad Fikhri.

Selain itu, dia juga dituduh menggunakan dokumen palsu untuk melantik anaknya, Ahmad Fikhri dan Nor A'khilah sebagai pengarah syarikat B TIS Manufacturer Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Indah Secretarial Management, 18-1, Jalan 15/48A, Sentul Raya Boulevard, Sentul, antara Disember 2006 dan Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 4:34pm
d