mutakhir

Lemas dibawa ombak

Oleh Rosliza Mohamed

MAYAT murid tahun empat yang mandi bersama lima rakannya ditemui kira-kira 20 meter dari tempat dia lemas di Pantai Sabak, Kota Bharu, 5.15 petang ini.

Mangsa Muhammad Shahir Saadi, 10, sebelum itu pergi ke pantai berkenaan bersama dengan seorang rakannya pada 2.30 petang.

Rakannya Muhammad Zaim Shakir Zamri, 10, berkata dia bersama arwah pergi ke pantai dengan mengayuh basikal dari rumah mereka di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa yang berjarak lima kilometer.

"Saya ke sana dengan Muhammad Shahir, manakala empat rakan kami yang lain menunggu di pantai. Apabila sampai, kami segera mandi, namun setengah jam kemudian saya naik dengan seorang rakan.

"Namun arwah bersama tiga rakan lain masih mandi. Secara tiba-tiba, Muhammad Shahir melambai tangan dan kelihatan seperti tenggelam timbul.

"Rakan yang lain pun begitu dan saya bergegas meminta tolong daripada peniaga kedai makan di tepi pantai." katanya ketika ditemui di Pantai Sabak, hari ini.

Katanya, peniaga itu Mohd Faiz Abdullah, 28, bersama orang awam bertindak menyelamatkan tiga rakannya berusia 10 dan 12 tahun, namun tidak sempat menarik Muhammad Shahir kerana sudah dibawa ombak.

Sementara itu, kakak arwah Nur Shahirah, 15, berkata dia bersyukur apabila mayat adiknya berjaya ditemui.

Katanya, sebelum itu adiknya keluar bersama rakannya ke pantai itu tanpa pengetahuan keluarga.

"Dia hanya beritahu mahu keluar bermain bersama rakan di kawasan sekitar sahaja. Tidak sangka pula dia ke sana (Pantai Sabak) untuk mandi.

"Semalam, emak (Fatihah Mahmud, 42) sudah menasihati dia supaya tidak bermain jauh dari rumah," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Penguasa Bomba Kanan II Husin Abd Rahman berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 20 meter dari tempat dia dilaporkan lemas.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, tiga mangsa lain yang hampir lemas turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya mengawasi anak masing-masing dan tidak mandi di pantai atau sungai dalam keadaan cuaca tidak menentu," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 7:35pm
d