mutakhir

Semoga selamat semuanya...

Oleh Rosli Ilham

PENDAKI dilaporkan cedera selepas terjatuh di kawasan puncak Gunung Berembun, Pasir Raja, dekat Dungun hari ini.

Mangsa, Syed Md Farid Farahan Syed Nasser, 24, berasal dari Taman Pinggiran, Batu Caves, bersama beberapa rakannya mendaki gunung terbabit sejak kelmarin.

Sebelum itu, mangsa dikatakan kurang sihat dan beberapa rakan mangsa mengambil keputusan untuk membawanya turun.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, mangsa dikatakan terjatuh yang menyebabkan kakinya cedera dan membengkak seterusnya menyebabkan pernafasannya menjadi perlahan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS),Jaswari Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada malim gunung mengenai mangsa cedera yang ditempatkan di sebuah kem di gunung itu, pada 1.20 petang.

"Sebaik menerima maklumat berhubung kes itu, 10 anggota termasuk dari Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

"Kami juga dapat bantuan daripada anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) dan 16 malim gunung," katanya.

Menurutnya, pada 6.30 petang tadi, pihaknya menerima laporan bahawa mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

"Usaha membawa turun mangsa sedang dijalankan, namun sehingga 8.30 malam ini, mangsa masih belum tiba," katanya.

Jaswari berkata, mangsa akan dibawa turun dengan menggunakan jalan darat yang berbukit dan dijangka memakan masa perjalanan agak lama.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 10:28pm
d