mutakhir

Sebulan lagi di hospital

Kuala Terengganu: “Saya bersyukur kerana hasrat untuk melihat anak kembali bertugas dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bertambah cerah selepas menerima maklum balas baik daripada agensi itu serta kerajaan negeri,” kata Fatimah Ngah, 63, ibu kepada bekas atlet angkat berat negara, Che Mohd Azrol Che Mat, 38.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Harian Metro yang banyak membantu dengan melaporkan kisah penderitaan anaknya itu hingga mendapat perhatian daripada banyak pihak.

Anaknya itu mungkin akan dirawat kira-kira sebulan lagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Apabila keluar nanti diharap dia mampu melatih atlet angkat berat semula sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Dengan pekerjaan itu nanti, dapat juga dia menampung kos perubatan selain berbakti kepada negeri sendiri,” katanya.

Kelmarin, kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk menerima kembali Che Mohd Azrol bersama MSNT sebagai jurulatih sambilan atau tetap.

MSNT meminta pemenang pingat emas Sukan SEA angkat berat kategori 105 kilogram pada 2003 dan 2005 itu berbincang dengannya selepas keluar dari hospital.

Bekas atlet angkat berat negara itu menerima rawatan di HSNZ sejak 1 Oktober lalu selepas dijangkiti kuman dalam paru-paru selain mengalami masalah buah pinggang, hati dan limpa.

Dia yang berasal dari Kampung Losong, ketika ini hanya bergantung hidup pada orang tuanya yang bekerja kampung.

Pada 2015, Che Mohd Azrol terpaksa berhenti kerja sebagai jurulatih angkat berat di MSNT selepas dijangkiti kencing tikus.

Lebih malang apabila dia kini memerlukan kira-kira RM2,000 sebulan untuk menampung kos perubatannya dan amat mengharapkan ada pihak membantu.

Sementara itu, Che Mohd Azrol yang masih bujang berkata, dia sedia memikul peranan sebagai jurulatih sekiranya pihak MSNT memberi kepercayaan kepadanya.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 6:28am
d