mutakhir

Herdikan pensyarah pembakar semangat

Oleh HM Digital

Shah Alam: Biarpun pernah diherdik bekas pensyarahnya sebelum ini, Nurul Wahida Nurul Wahida Mazlan, 23, tersenyum lebar apabila menerima Anugerah Naib Canselor (ANC), selain kini turut berkhidmat sebagai pensyarah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Kulinari itu seorang daripada 22 penerima ANC pada Majlis Konvokesyen ke-87 Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Menurutnya, dia masih teringat kata-kata bekas pensyarahnya yang memaklumkan dirinya tidak akan berjaya selepas gagal dalam pengajian Asasi Undang-Undang.

“Namun, ia mungkin hanya sekadar niat seorang pensyarah yang mahu membantu dan mencabar penuntutnya kerana dilihat sering kali gagal pada ujian setiap semester.

“Sehingga kini, pensyarah itu yang sentiasa memberi sokongan dan membuka mata saya untuk mengubah hidup,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Sebelum ini, Nurul Wahida mengikuti pengajian Asasi Undang-Undang selama setahun tetapi gagal dan terpaksa membuat rayuan untuk ulangan pengajian.

“Selepas itu, saya dapat menamatkan kursus berkenaan dengan keputusan sekadar ‘cukup makan’ dan tidak berjaya menyambung ke peringkat ijazah walaupun saya cuba membuat permohonan lain.

“Lebih mengecewakan apabila semua permohonan untuk melanjutkan pengajian ditolak,” katanya yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.63.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 6:31am
d