mutakhir

Pemandu cekap selamat 30 nyawa

Oleh HM Digital

Seremban: “Selepas dirempuh, saya hanya ada dua pilihan sama ada belok ke kanan atau ke kiri yang memasuki gaung. Jika lambat bertindak sudah pasti nyawa 30 penumpang terancam,” kata M Rajaair, 50, pemandu bas kilang yang terbabit kemalangan di Jalan Labu, berhampiran Taman Gadong Jaya, di sini, semalam.

Rajaair berkata, dalam kejadian 6.55 pagi, dia dalam perjalanan membawa 30 pekerja wanita dari Seremban ke kilang di Nilai, dekat sini.

Secara tiba-tiba, Proton Iswara dari arah bertentangan gagal memotong kenderaan di hadapan lalu merempuh bas dipandunya.

“Akibatnya kereta terbabit terbabas di bahu jalan manakala bas hilang kawalan. Saya keliru sama ada mahu membelok ke kanan ataupun ke kiri,” katanya.

Menurut Rajaair, dalam keadaan bas menuruni bukit, sebelah kirinya merapati gaung sedalam lebih lima meter yang boleh menyebabkan kematian.

“Jadi, saya pusing ke kanan sebelum bas merempuh kuil di tepi jalan. Saya bersyukur tindakan pantas menyelamatkan nyawa walaupun lapan penumpang cedera,” katanya.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban 2, Khairuddin Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.56 pagi lalu mengerahkan sembilan anggota dan sebuah jentera ke lokasi.

Sebaik tiba, anggota mendapati lapan daripada 30 penumpang bas itu tercedera. Mereka berusia antara 30 hingga 40-an.

“Kami turut mengeluarkan pemandu dan penumpang kereta yang tersepit, masing-masing berusia 26 tahun. Semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 7:31am
d