mutakhir

Maut rempuh dua kenderaan

Oleh Siraj Mohd Zaini

PEMANDU pacuan empat roda maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan selepas susur keluar dari Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10.13 malam itu, kemalangan berlaku di susur masuk ke sebuah restoran makanan segera dan stesen minyak di lebuh raya berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, pacuan empat roda dipandu mangsa, Kan Wai Chiu, 52, merempuh bahagian belakang treler yang parkir di sebelah kanan jalan.

Akibat rempuhan itu, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm itu melanggar Proton Exora yang parkir di sebelah kiri jalan.

"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan maut di lokasi kejadian. Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi membawa keluar mangsa.

"Pemandu treler dan Proton Exora itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 12:26pm
d