mutakhir

Pamer tanda harga merah jambu

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

GAGAL mempamerkan tanda harga merah jambu pada barang kawalan, antara kesalahan yang dikesan dilakukan peniaga dalam operasi skim kawalan harga sempena Deepavali yang dilancarkan Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Petaling Jaya, Kamaruddin Md Yassin berkata, peniaga diberi amaran supaya mempamerkan tanda harga, bagaimanapun, notis kompaun akan diberikan dan barang niaga disita sekiranya peniaga enggan bekerjasama.

“Setakat hari ini, sebanyak 705 gerai, kedai runcit dan 48 premis borong sudah diperiksa.

“Satu peniaga dikenakan kompaun kerana gagal meletakkan tanda harga merah jambu pada kelapa parut yang dijual serta paparan tanda harga mengelirukan. Kita turut merampas kelapa parut terbabit,” katanya selepas operasi skim kawalan harga sempena Deepavali di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Kamaruddin berkata, peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu boleh didenda maksimum RM10,000 bagi individu dan RM20,000 syarikat.

Seramai 13 penguat kuasa KPDNKK terbabit dalam operasi yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari itu.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 1:40pm
d