mutakhir

'Nak menangis terima bantuan'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

“SAYA bersyukur dengan sumbangan ini," kata penduduk warga emas Kampung Jeram Padang, Jempol, B Ravichandran, yang menerima sumbangan sempena Deepavali oleh Kelab Bolasepak N Nine FC, di sini, semalam.

Ravichandaran, 60, berkata, dia yang sudah tidak bekerja, runsing memikirkan membeli keperluan dapur menjelang perayaan itu, esok.

"Mereka menghulurkan bantuan ketika saya sangat memerlukan. Terasa seperti mahu menangis kerana dibantu dalam keadaan susah," katanya.

Menurut Ravichandran, dia tidak menyangka pemilik kelab terbabit, Datuk Seri Dr S Surash berkunjung ke rumahnya.

"Biarpun berstatus kelab bola sepak, pasukan ini memahami keperitan penduduk," katanya.

Penduduk, P Poghoti, 30 berkata, kebiasaannya mereka menerima bantuan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) tetapi kelainan ditunjukkan apabila kelab bola sepak yang membantu.

"Saya tidak menyangka organisasi lain pula tampil dan mereka memahami beban masyarakat ketika perayaan," katanya.

Sementara itu Dr Surash berkata, seramai 500 penduduk dari ladang, kampung dan taman di Jeram Padang dibantu menjelang Deepavali kali ini.

Katanya, lebih 20 sukarelawan berkunjung ke rumah penduduk dan menyerahkan pelbagai barangan dapur.

"Kami juga menyerahkan duit raya dengan harapan Deepavali disambut meriah," katanya yang juga Pengerusi MIC Cawangan Taman Awana Indah, di sini.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 1:54pm
d