mutakhir

Laskar Kanan kena 8 tuduhan tambahan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Noor Hidayah Tanzizi

LASKAR Kanan TLDM yang didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Jumaat lalu, atas dua tuduhan membunuh sekali lagi didakwa, hari ini.

Kali ini dia didakwa atas enam tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan dua tuduhan ugutan jenayah terhadap dua tahanan lain yang cedera di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, September lalu.

Mohd Izhrifikri Roslee, 29, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua tahanan iaitu Laskar Kelas 1 Mohd Farhan Md Said, 30, dan Laskar Kelas 1 Mohd Syaiful Nizam Mardzuki, 30.

Bagaimanapun, dia tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu sebaik ia dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Selain Izhrifikri, turut didakwa tiga lagi rakannya yang juga Laskar Kanan Hamzah Zakaria @ Ali, 35; Mohd Farham Mohd Azmi, 31, dan Saifulnizam Razaly, 37, masing-masing atas satu pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Farhan.

Mohd Izhrifikri didakwa atas tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Farhan dengan memukul tapak kakinya di dua lokasi berbeza di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, iaitu 12 September di pejabat Pentadbiran dan 13 serta 14 September di padang kawad antara 8 malam (12 September) hingga 12 tengah hari (14 September).

Dia juga didakwa atas tiga kesalahan sama yang dilakukan terhadap Mohd Syaiful Nizam di padang kawad, pada 21-23 September, antara 10 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap hari berkenaan.

Bagi enam pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau dengan dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Nohd Izhrifikri turut didakwa atas dua lagi pertuduhan ugutan jenayah terhadap Mohd Farhan dan Mohd Syaiful Nizam iaitu dengan mengatakan mereka akan dibelasah sehingga mati dan ahli keluarga juga akan diancam sekiranya memberikan kenyataan yang benar kepada polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua lokasi berbeza di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, iaitu di lorong hadapan sel nombor 7 dan dihadapan sel no 4 pada 2 hingga 3 petang, 29 September lalu.

Bagi dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Nur Shaqira menetapkan 30 Oktober ini sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam dan tiada jaminan ditawarkan kerana tertuduh sudah didakwa atas pertuduhan membunuh sebelum ini.

Pada Jumaat lalu, Mohd Izhrifikri didakwa atas dua pertuduhan membunuh kedua-dua mangsa di padang latihan Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, pada jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang, 29 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati sebelum kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Disember ini.

Sementara itu, Mohd Farham pula mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohd Farhan manakala Hamzah dan Saifulnizam tidak mengaku bersalah atas tuduhan sama yang dilakukan di Padang Kawad Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, 13 September lalu.

Nur Shaqira kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,600 terhadap Mohd Farham atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hamzah dan Saifulnizam pula masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 30 Oktober untuk lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Harris Ong Jeffry Ong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita berkaitan

TSeorang dituduh bunuh, dua sebab kecederaan [METROTV]

Sambung reman 7 hari

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 2:26pm
d