mutakhir

Mengaku tak bersalah sebabkan kematian

Oleh Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham

PEMANDU lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua anggota polis di Kilometer 139.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, 12 Oktober lalu.

Tertuduh, Ahmad Sufi Ismail, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy.

Ahmad Sufi juga memohon kepada mahkamah supaya dia dibicarakan.

Menerusi pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nik Amanina Zulkifli.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Badrul Munir menetapkan 14 November ini bagi sebutan semula kes.

Mengikut Pertuduhan kes, pada selasa lalu, tertuduh didakwa memandu secara bahaya sehingga memasuki laluan bertentangan,di Kilometer 139.5, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa dua anggota trafik yang sedang berkonvoi dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Kemalangan itu menyebabkan Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan dan Lans Koperal Suresh Itchang yang bertugas di Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, maut di tempat kejadian.

Berita berkaitan

Hantar pesanan rindu isteri sebelum maut

2 anggota polis maut

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 7:00pm
d