mutakhir

Masuk haram, tanggung sendiri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

RAKYAT Kelantan dinasihatkan supaya tidak memasuki negara jiran secara haram bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, negara jiran masih bergolak dan boleh menyebabkan berlakunya letupan tanpa dijangka.

Katanya, jika rakyat negara ini mahu melawat negara jiran, mereka perlu masuk mengikut saluran yang sah.

"Kita minta rakyat yang masuk ke negara jiran supaya berhati-hati dan ikut jalan yang sah.

"Jika masuk secara haram dan berlaku letupan, mereka yang terbabit perlu menanggung sendiri," katanya ketika ditemui di program Sedekad Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bersama Polis Diraja Malaysia di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Datuk Abd Aziz Ab Latif.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian serangan di selatan Thailand kelmarin yang menyebabkan seorang lelaki maut.

Kejadian jam 9.30 malam itu menyebabkan mangsa, Wan Mohd Zain Wan Hussin, 46, yang menunggang motosikal terkena tembakan yang dilepaskan sekumpulan lelaki menaiki pacuan empat roda ke arah polis di pos pemeriksaan Kampung Cek He, Tak Bai.

Difahamkan ketika itu, arwah menunggang motosikal dan berhenti di pos terbabit untuk diperiksa pegawai polis.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 7:07pm
d