mutakhir

'Tuduhan tak berasas' - KPN [METROTV]

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

TUDUHAN terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyembunyikan Golam Rabbani, warga Bangladesh yang mempunyai kaitan dengan Daesh tidak berasas sama sekali.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Golam diusir keluar dari negara ini awal tahun lalu dan dia dikatakan tidak sampai ke Bangladesh.

“Dakwaan itu tidak benar kerana proses tangkapan dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa Bangladesh.

“Dia diusir menggunakan penerbangan terus Malindo Air dari Kuala Lumpur ke Dhaka. Malah, ketika dibawa masuk ke pesawat, dia diiringi pegawai dan pihak keselamatan Bangladesh.

“Maka, tuduhan kita menyembunyikannya tidak berasas sama sekali,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, Dhaka Tribune melaporkan seorang daripada tiga warga Bangladesh yang diusir daripada negara ini kerana mempunyai kaitan dengan Daesh, hilang dan gagal dijejaki.

Golam dilaporkan hilang, manakala dua rakannya Rana dan Ashraful kini berada dalam tahanan polis Bangladesh.

Jumaat lalu, Fuzi mengumumkan Golam dan dua lagi rakannya, antara 45 warga asing yang ditahan kerana mempunyai kaitan dengan Daesh.

Dalam perkembangan berasingan, Fuzi berkata, sejak 2013, sembilan serangan militan cuba dilakukan di negara ini tetapi berjaya dipatahkan.

Katanya, sejak Januari, seramai 78 individu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan Daesh.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 7:28pm
d