mutakhir

Seleweng RM1.5b: ADUN ditahan

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Sumber yang rapat dengan SPRM berkata, ahli politik dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, pada jam 8 malam tadi.

"Lelaki itu sebelum itu tampil memberi keterangan di SPRM sejak pagi hari ini," katanya.

Setakat ini, SPRM sudah menahan reman lapan individu di Sabah dan Putrajaya, termasuk empat ahli politik dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Di Sabah, individu yang ditahan, Naib Presiden WARISAN Datuk Peter Anthony, 46, dan Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman, 43.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, 43, Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, dan seorang lagi ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52.

Seorang lagi, adik kepada Mohd Shafie, iaitu Hamid Apdal, 52, yang juga ahli perniagaan, dan menantu Hamid, Manzur Hussien Awal Khan, 33.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian persekutuan turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

Bagaimanapun, lima daripada mereka iaitu Peter, Yu, Mohd Azis, Jamawi dan Ariffin sudah dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan SPRM.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian persekutuan di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion.

Ia berdasarkan peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri ini antara 2010 hingga 2015.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 11:59pm
d