mutakhir

Lemas tika lerai jala tersangkut

Oleh Farah Suhaidah Othman

LELAKI, 43, ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika menjala ikan di Sungai Batang Padang, Tanjung Keramat, Langkap, hari ini.

Mayat mangsa Samsudin Md Sarmuji ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi lelaki itu dipercayai jatuh pada 9.55 pagi .

Difahamkan, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu pada 7.20 malam semalam selepas cuba meleraikan jala yang tersangkut ketika keluar menangkap ikan bersama lima ahli keluarganya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 7.37 malam.

Katanya, sebaik tiba keadaan cuaca mulai gelap dan anggota menjalankan operasi pencarian di permukaan sungai menggunakan peralatan khas, namun tidak menemui mangsa.

"Anggota bomba bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut membantu membuat pencarian di permukaan sungai menggunakan bot serta membuka pusat kawalan di kawasan kejadian.

"Operasi pencarian diteruskan hari ini dan mangsa berjaya ditemui pada 9.55 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, anggota bomba bertindak mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 2:49pm
d