mutakhir

Sisa tandan kelapa sawit hangus

Oleh Amrullah Abdul Karim

BOMBA memadamkan kebakaran longgokan sisa tandan kelapa sawit seluas 0.4 hektar di Kilang FELDA Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu, hari ini selepas terbakar sejak semalam.

Kebakaran itu berlaku pada 3.30 petang semalam dan operasi pemadaman dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya sebelum diteruskan oleh BBP Kuala Kubu Bharu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie berkata, lapan anggota bomba dengan kerjasama tujuh pekerja kilang itu berusaha memadamkan kebakaran itu.

"Selain jentera bomba, dua jengkaut digunakan dalam operasi itu yang dijalankan sehingga 7 malam semalam.

"Operasi pemadaman disambung semula 11 pagi hari ini, dan berjaya dipadamkan sepenuhnya, 2.45 petang tadi. Keadaan pulih sepenuhnya dan tiada kelihatan asap atau punca api," katanya.

Kata Rosdi, hasil perbincangan bersama pihak pengurusan kilang bersetuju menamatkan operasi pada 3.30 petang.

"Tugas pemantauan dilakukan pihak kilang berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya 3.45 petang," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 6:26pm
d