mutakhir

Lapan tahun mimpi ngeri

Oleh Norizuan Shamsuddin

PELAJAR tingkatan lima dakwa dicabul beberapa kali selama lapan tahun oleh bapa angkat di sebuah rumah di Petaling Jaya, sejak 2009.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila remaja perempuan terbabit diambil menjadi anak angkat oleh suspek berusia 49 tahun, pada 15 November 2009 selepas kematian bapa.

"Difahamkan ibu mangsa pulang ke negara asalnya selepas menyerahkan remaja terbabit untuk dijaga oleh suspek.

"Selepas beberapa bulan tinggal di rumah lelaki terbabit, mangsa mendakwa dia mula diganggu oleh suspek dengan memandikan mangsa, meraba kemaluan, memaksa tidur bersama tanpa pakaian dan melakukan oral seks.

"Suspek turut mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya memaklumkan perbuatannya itu kepada orang lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejadian berlarutan sehingga mangsa berusia 17 tahun dan pada 7 Oktober lalu remaja terbabit bertindak melarikan diri dari kediaman berkenaan selepas tidak tahan dengan perbuatan suspek.

"Selepas melarikan diri, mangsa menghubungi ibunya memaklumkan kejadian, dan susulan itu remaja terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, pada 8 Oktober lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 8:38pm
d