mutakhir

Jari dimamah mesin pengisar ikan

Oleh Rosliza Mohamed

 

am@hmetro.com.my

EMPAT jari kiri seorang wanita hancur selepas tersepit di dalam mesin pengisar ikan di Kampung Kemudu Bongkok, Pasir Puteh, 3.40 petang hari ini.

Mangsa, Norhaliza Idris, 30, dihantar ke Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dengan kereta oleh keluarganya.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika dia sedang memasukkan ikan dalam alat pengisar berkenaan untuk dijadikan keropok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, sebaik mangsa tiba, operasi mengeluarkan jari yang tersepit terus dilakukan oleh seorang pegawai dan empat anggota.

Katanya, pihaknya menggunakan peralatan pemotong khas.

"Kami mengambil masa tidak sampai satu jam untuk melakukan kerja mengeluarkan jari mangsa dengan beberapa alat khas.

"Sebaik selesai, mangsa dibawa dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh " katanya.

 

 

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 11:14pm
d