mutakhir

Nikmati kemudahan Pantai Eco Park

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Taman Rekreasi Pantai Eco Park yang terletak di Pantai Dalam menjadi pilihan utama penduduk sekitar Projek Perumahan Rakyat untuk melakukan aktiviti riadah.

Pantai Eco Park yang dilengkapi empat gelanggang futsal, padang bola sepak, gelanggang tenis, sepak takraw, bola jaring, badminton dan trek joging itu mula dibuka kepada orang ramai secara percuma bermula jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Bagi Muhammad Izzat Hafizuddin Mohd Zamri, 12, dia bersyukur kerana taman rekreasi berkenaan hanya terletak di depan rumahnya dan memudahkan aktiviti mereka untuk beriadah.

“Jika sebelum ini, kami beriadah dalam keadaan tidak selesa berikutan ramai orang mahu menggunakan gelanggang futsal di PPR Cempaka kami, namun di taman rekreasi ini pelbagai kemudahan diberikan selain lokasinya cukup cantik,” katanya kepada Harian Metro.

Pendapat sama turut dikongsi Abdul Qayyum Hashan, 10, yang gembira apabila dapat menggunakan kemudahan bersukan di situ walaupun masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan taman rekreasi itu.

Pantai Eco Park seluas 12 hektar yang terletak di atas Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 dibuka kepada orang awam secara percuma bagi memberi pilihan baru untuk melakukan aktiviti riadah.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 5:49am
d