mutakhir

Tauke jalang 3 kali kantoi

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Klang: Walaupun pernah beberapa kali diserbu, sebuah pusat urutan tradisional di Taman Desawan, di sini, dikesan masih berdegil menjalankan operasi perniagaan dengan menggaji warga asing tanpa permit sah.

Difahamkan, premis yang beroperasi sejak enam bulan lalu itu menawarkan khidmat tukang urut wanita terdiri daripada warga Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Namun, kedegilan pengusahanya yang enggan mematuhi peraturan menyebabkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menyerbu premis berkenaan, jam 9.30 malam kelmarin.

Dalam Ops Noda itu, ia membawa kepada penahanan enam tukang urut berusia antara 24 hingga 32 tahun untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai kesalahan pengusaha pusat urut berkenaan.

“Ketika serbuan, pemeriksaan mendapati seorang pelanggan menunggu giliran di luar manakala seorang lagi sedang menerima urutan oleh tukang urut.

“Selain enam wanita masing-masing tiga warga Indonesia, dua Vietnam dan seorang Indonesia, kita menahan seorang lelaki tempatan iaitu penjaga kaunter premis itu bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas tiga botol minyak urut dan tiga helai tuala untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati pusat urut itu hanya menawarkan khidmat urutan tradisional dan tiada membabitkan tawaran seks,” katanya memaklumkan premis itu sudah tiga kali diserbu.

Kata Shamsul, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1964 dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 6:02am
d