mutakhir

Masyarakat Bugis terasa hati

Oleh HM Digital

Putrajaya: “Kita mahu beliau tarik balik dan mohon maaf kepada semua masyarakat Bugis,” kata Timbalan Presiden Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Tasman Matto.

Menurutnya, desakan itu susulan ucapan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyebut mengenai Bugis pada Himpunan Anti-Kleptokrasi, Sabtu lalu.

Tasman berkata, pihaknya merasakan kenyataan Dr Mahathir itu menghina masyarakat Bugis, sekali gus ia perlu ditarik balik.

“Politik itu ideologi masing-masing tetapi soal kesukuan... jangan kita panjangkan dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan Malaysia.

“Kami berasa amat berdukacita dan membantah kenyataan beliau serta mahu ia ditarik balik selain memohon maaf kerana masyarakat Bugis yang difahamkan hampir sejuta orang di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Lebih 200 ahli persatuan itu berhimpun di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menuntut Dr Mahathir menarik balik kenyataannya.

Dalam ucapan Dr Mahathir pada Himpunan Anti-Kleptokrasi yang menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin berasal daripada lanun Bugis sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Mengulas lanjut, Tasman berkata, pihaknya akan menyampaikan memorandum sekali lagi kepada Dr Mahathir berhubung perkara berkenaan secara peribadi.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 6:09am
d