mutakhir

Lapar sampai mati

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Buka matamu, ambil air ini. Allah bersamamu, Ya Allah...Itu permintaan aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kepada seorang pelarian, Nur Hassan, 22, yang tenat selepas tidak makan dan minum selama beberapa hari.

Pengalaman melihat betapa pelarian termasuk kanak-kanak menderita kelaparan hingga ada yang menemui ajal dilalui sendiri Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika bersama pasukan perubatan memberikan bantuan kepada pelarian di Kem Balukhali, dekat Cox’s Bazar, Bangladesh.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat menahan sebak kerana bulan lalu, dia menemui Nur Hassan bersama keluarganya ketika mereka baru tiba dari kampung halaman di Rakhine, Myanmar ke Bangladesh.

Ahmad Tarmizi berkata, dia bertemu Nur Hassan dua kali di kem itu dan keadaannya berubah sama sekali apabila disahkan menghidap angin ahmar, baru-baru ini.

Katanya, kisah pemuda itu adalah salah satu daripada ribuan lagi pelarian yang masih menunggu untuk dirawat di beberapa kem berhampiran sempadan di Sungai Naf.

“Bukan saja pengedaran pek makanan, pembinaan khemah sementara dan masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang membantu pelarian di Bangladesh juga terbabit menguruskan jenazah yang meninggal dunia.

Hampir setiap hari ada pelarian meninggal dunia termasuk mereka yang sudah uzur dan sakit ketika menyeberang sempadan untuk sampai ke kem terdekat di Bangladesh,” katanya.

Menurutnya, MAPIM bekerjasama dengan NGO tempatan menguruskan jenazah seperti mana sewajarnya walaupun berdepan keadaan yang sukar.

Katanya, pihaknya juga memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli pengusung mayat yang digunakan di setiap kem bagi memudahkan urusan pengebumian pelarian Rohingya.

“Kita juga membantu pesakit untuk dihantar ke hospital dan membayar kos doktor yang dibawa khas untuk merawat pesakit di hospital.

“Kita melakukan apa saja yang dirasakan perlu berdasarkan keadaan semasa kerana pelarian terlalu ramai.

“Hampir 70 peratus pelarian di setiap kem akan mengalami demam dan ini diburukkan lagi dengan kekurangan bekalan air bersih serta persekitaran yang agak kotor,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Tarmizi berkata, setakat ini MAPIM sudah mengedarkan 165 tan pek makanan kepada hampir 16,000 pelarian yang disumbangkan masyarakat antarabangsa dan penderma di Malaysia.

Sukarelawan MAPIM yang berada di Cox’s Bazar sejak krisis pelarian penghujung Ogos lalu, bergerak bersama Kerjasama Untuk Aktiviti Kemanusiaan (CHA) mengumpulkan maklumat lapangan untuk memastikan setiap aspek diberikan fokus sebaiknya.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 6:19am
d