mutakhir

Dua rakan ajal bersama

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DUA sahabat baik maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar motosikal lain dari arah bertentangan di kilometer 4 Jalan Sungai Koyan-Kuala Medang, Lipis, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Mohamad Nasrul Mohamad Abdah, 25, dan Wahadi Wahadat Rani, 23, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian Honda EX5 ditunggangi Mohamad Nasrul bersama Wahadi sebagai pembonceng dalam perjalan dari Kuala Medang, Lipis sebelum dilanggar Yamaha 125Z dari arah bertentangan.

“Penunggang Yamaha 125Z bersama seorang pembonceng dikatakan cuba memotong dua motosikal yang berada di hadapan mereka sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku kemalangan itu.

“Mereka (penunggang Yamaha 125Z) turut parah akibat kemalangan berkenaan manakala dua lagi penunggang motosikal lain cedera selepas gagal mengelak kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki yang parah masing-masing berusia 17 tahun kini dirawat di Hospital Kuala Lipis sementara dua lagi mangsa yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Sungai Koyan.

Katanya, dua mangsa yang maut akan dibedah siasat di Hospital Kuala Lipis hari ini, sebelum mayat diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Keterangan mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu sedang diambil bagi melengkapkan siasatan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 11:03am
d