mutakhir

Kejutan waktu dinihari

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

PENUNTUT lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan kediaman penuntut perempuan di kampus sebuah universiti awam di Sungai Chuchuh, Padang Besar, hari ini.

Difahamkan, mangsa berusia 22 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di tingkat bawah oleh pengawal keselamatan pada 1.30 pagi.

Sumber berkata, pengawal keselamatan mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan oleh beberapa penuntut mengenai bunyi seperti ‘objek’ terhempas.

“Berdasarkan maklumat, mangsa yang belajar di sebuah universiti awam di selatan tanah air datang ke kampus ini untuk bertemu rakannya yang tidak pulang bercuti sempena perayaan Deepavali," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superitendan Ghazani Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Kes kematian penuntut terjatuh dari bangunan kediaman itu berlaku buat kali kedua pada tahun ini selepas kejadian pertama pada 19 April lalu.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 11:23am
d