mutakhir

Misi memburu kecemerlangan

Oleh Nursyahirah Marzuki

MALAYSIA sasar kedudukan lebih baik pada temasya sukan kedua terbesar dunia, Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018) yang akan berlangsung pada April tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kontijen negara yang akan diketuai oleh Huang Ying How kini sudah bersedia untuk berhadapan dengan GC2018.

"Sebelum ini, kontijen negara sekadar membawa pulang enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa (pada saingan) di Glasgow, Scotland dan menduduki tangga ke-12.

"Namun, saya percaya pasukan negara akan menunjukkan prestasi cemerlang (pada temasya ini), sekali gus melepasi kedudukan sebelum ini," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan baton Larian Baton Ratu sempena Sukan Komanwel ke-21 di Gold Coast, Australia di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis itu, Khairy menerima baton yang disampaikan wakil rasmi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang juga lagenda olahraga negara Tan Sri Dr M Jegathesan.

Baton yang membawa mesej Ratu Elizabeth II itu dijadual berada di Malaysia sehingga Sabtu ini sebelum ke Brunei bagi meneruskan misi jelajah sejauh 230,000 kilometer (km), menelusuri 70 negara Komanwel.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Malaysia berbangga menjadi negara ke-54 daripada 70 negara yang turut menyertai larian terbabit sejak hari pertama dilaksanakan pada 13 Mac lalu.

"Malah, melalui larian ini, bermulalah tempoh untuk atlet negara melakukan persiapan dalam masa 166 hari sebelum temasya itu disingkap secara rasmi pada 4 April depan," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 1:03pm
d