mutakhir

Tangan patah, kaki putus

Oleh Nur Saliawati Salberi

PENUNGGANG motosikal maut selepas putus kaki dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 32 Jalan Kemendor - Selandar, Jasin, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa M Yuvaraja, 31, yang menunggang motosikal Yamaha 125Z maut di lokasi kejadian selepas bertembung dengan Perodua Myvi dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang dalam perjalanan dari arah Jasin menghala ke Kemendor dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu, motosikal mangsa berlanggar dengan Perodua Myvi dipandu wanita berusia 31 tahun.

"Selain mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan patah tangan kanan, kaki kanan mangsa turut putus," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu Perodua Myvi dan penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain pihak polis turut meminta orang awam yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 2:37pm
d