mutakhir

Teknologi Jepun susun kereta [METROTV]

Oleh Nabil Basaruddin

MA Intelligent Parking (M) Sdn Bhd (MAIP) melancarkan menara ikonik tempat letak kereta mekanikal automatik (MAPS) bertaraf premier serta paling moden di Malaysia dengan kerjasama dan kepakaran teknologi dari Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAIP, Datuk Seri Dr Muhammad Isa Kasim berkata, menara setinggi 24 tingkat berkenaan didirikan di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar dan mampu memuatkan 199 tempat letak kereta.

Beliau berkata, menara ikonik di Jalan Tun Abdul Razak itu menggunakan lif untuk membantu meletak kenderaan di tapak yang telah ditetapkan selepas pembayaran dibuat di mesin yang disediakan.

Katanya, ia menggabungkan sistem mekanikal dan konvensional dan memberikan penyelesaian kepada masalah berkaitan kekurangan tempat letak kereta di kawasan 'segi tiga emas' itu.

"Kami bekerjasama dengan Nissei Build Kogyo Co Ltd bagi membina menara tempat letak kereta yang berkonsepkan mesra pelanggan dan menepati kehendak pengguna.

"Menara ini menggunakan teknologi Jepun iaitu Sistem Parkir Bertingkat Berintegrasi yang membabitkan perkhidmatan valet, parkir bulanan dan parkir premium," katanya dalam majlis pelancaran tempat letak kereta mekanikal automatik MAPS di Kuala Lumpur, hari ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan majlis pelancaran menara ikonik MAPS yang diadakan di Lot 43, Jalan Tun Razak.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 2:47pm
d