mutakhir

Tunggu kerajaan umum

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa sebanyak 1,238 pusat pengajian Islam termasuk tahfiz dan pondok di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Amer Yusof berkata, semua pusat pengajian Islam yang diperiksa itu adalah berdaftar, dan kini sedang mengumpul maklumat premis didapati tidak berdaftar.

"Kita (JBPM) akan menyiapkan laporan lengkap mengenai hasil siasatan daripada pemeriksaan itu untuk diserahkan kepada pihak kementerian (Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan) pada Isnin depan.

"Laporan terbabit akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet dan ia akan diumumkan oleh pihak kerajaan nanti," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah projek pembinaan semula rumah di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Taman Jujur, Seremban, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Jalaluddin Alias.

Katanya, sepanjang sebulan proses pemeriksaan dilakukan, semua pusat tahfiz dan pondok di seluruh negara memberikan kerjasama baik.

Sementara itu, Amer berkata, pihaknya turut menyarankan orang ramai agar menyediakan alat pemadam api di dalam kenderaan masing-masing, susulan peningkatan kes kebakaran kenderaan.

Menurutnya, dengan adanya alat pemadam api, pemilik kenderaan boleh mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku kebakaran.

"Alat pemadam api mudah digunakan dan boleh didapati dalam saiz kecil. Pengguna akan diberi penerangan ringkas mengenai cara penggunaannya supaya tidak panik apabila berlaku kecemasan," katanya.

Katanya, pelbagai kempen kesedaran kebakaran sudah dilaksanakan pihaknya di peringkat sekolah sehingga ke rumah, untuk memberi nasihat kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan dan pencegahannya.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 4:31pm
d