mutakhir

Kecoh kenderaan bergesel

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Flat Seri Perak, Sentul akibat salah faham berhubung tempat letak kenderaan kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul SuperintendanMohamad Rafiq Mustafa berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila seorang pemandu pacuan empat roda yang didakwa mabuk mengeluarkan kata-kata kesat kepada wanita kerana menghalang laluannya.

"Kereta yang dipandu wanita berkenaan bergesel dengan pacuan empat roda itu menyebabkan perselisihan faham berlaku.

"Penduduk yang berada di tempat kejadian cuba menyelesaikan perselisihan faham berkenaan namun bertukar kecoh,"katanya.

Mohamad Rafiq berkata, semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu sudah diambil keterangan dan siasatan kini masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan melakukan kekecohan di tempat awam," katanya.

Video pergaduhan sekumpulan lelaki itu tular di laman sosial sejak kelmarin.

Video berdurasi 2 minit 38 saat itu memaparkan pertengakaran mulut sekumpulan lelaki namun bertukar kecoh sebelum berlaku pergaduhan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dinaiki tiga lelaki menggesel beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan kawasan perumahan berkenaan.

Pemandu yangt didakwa mabuk itu berang sebelum bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemilik kenderaan sebelum pergaduhan berlaku.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 5:51pm
d