mutakhir

[UPDATE] Alhamdulillah...

Oleh Omar Osman

“SYUKUR Alhamdulillah kerana kandungan saya berusia empat bulan disahkan selamat oleh doktor manakala suami juga selamat namun saya masih belum boleh melihat keadaannya.”

Begitu kata Suriantih Lapanca, 31, seorang daripada 16 orang yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 68 Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat Kampung Padang Buluh, Tikam Batu, Sungai Petani, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian 5.55 pagi itu, dua maut selepas Perodua Myvi merempuh van kilang yang dalam perjalanan ke kilang Sony di Kawasan Perindustrian Prai, Pulau Pinang.

Suriantih berkata, dia yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu berasa lega kerana kecederaan yang dialami tidak terlalu parah namun bimbang dengan keadaan suaminya, Rizal Zul Izzaham Mohd Ridzuan, 31, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, sehingga semalam dia tidak dapat melihat suaminya lagi kerana masih menerima rawatan namun sedikit lega apabila dimaklumkan Rizal Zul sudah sedar tetapi masih belum bercakap.

Menceritakan kembali kejadian itu, Suriantih berkata, dia dan suami keluar dari rumah mereka pada 5 pagi bagi mengambil pekerja kilang yang berkumpul di hadapan stesen minyak Taman Nilam Sari di mana ketika itu dia duduk di bahagian penumpang depan van dipandu suami.

"Selepas mengambil 12 pekerja di hadapan stesen minyak terbabit, kami terus bergerak ke kilang. Ketika sedang berbual dengan pekerja kilang terbabit, tiba-tiba kami lihat ada kereta datang dari arah depan dan terus masuk ke laluan van.

"Saya menjerit kepada suami memberitahu kereta itu masuk ke laluan kami malah pekerja lain turut menjerit sebelum berlaku satu dentuman kuat sehingga saya tidak sedarkan diri selepas itu," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.

Shahanim berkata, terdapat lima mangsa kemalangan masih dirawat di HSAH iaitu Rizal Zul, Suriantih, Nur Fatin Sharip, 20, Nurul Hanis Desa, 22 dan penumpang kereta Perodua Myvi, Dzul Fadzlin Ahmad Shukri, 31, manakala seorang lagi mangsa, Nur Aliyah Isa, 20, dirawat di Hospital Sultanah Hahiyah (HSB)

"Saya dimaklumkan keadaan Rizal Zul semakin baik manakala isterinya juga sihat malah kandungannya selamat.

"Begitu juga dengan Nurul Hanis yang patah tangan kiri, cuma keadaan Nur Fatin yang masih teruk kerana mengalami kecederaan parah di kepala," katanya.

Harian Metro Selasa lalu melaporkan dua maut manakala sebelas cedera, termasuk dua parah selepas kereta rempuh van kilang.

Van kilang itu dikatakan bergerak dari Sungai Petani manakala Perodua Myvi dari Tikam Batu.

Senarai mangsa kemalangan di Tikam Batu, Sungai Petani.

1. Rizal Zul Izzaham Mohd Ridzuan, 31, (pemandu van - parah)

2. Nur Aliayah Isa,20, (parah)

3. Suriantih Lapanca,24, (parah)

4. Rosita Abdullah

5. Nurul Hanis Desa

6.Nur Asmah Hamid

7.Siti Nur Faizah Fidzon

8. Fatimatul Ainsyah Che Ya

9. Nurul Izani Ahmad,23,

10. Nur Azira Md Nasir,21

11. Nur Izaty Syafinaz Zamri,20 (maut)

12.Mimi Syazwani Ahmad Fuzi,19.

13.Nur Fatin Sharip,20.

14. Nur Sarah Abdullah,20.

15. Mohamad Fakhurazzi Samsudin, 30, pemand Myvi (maut)

Berita berkaitan

T10 tercampak atas jalan [METROTV]

'Buah hati ibu tiada lagi'

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 8:02pm
d