mutakhir

Mangsa banjir meningkat

Oleh Recqueal Raimi

MANGSA banjir di Kota Belud meningkat kepada 273 orang, 8 malam tadi, berbanding 144 orang, pada 9 pagi hari ini.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, mangsa banjir membabitkan 107 keluarga dari 14 kampung.

"Mangsa terdiri daripada 102 dewasa, 125 kanak-kanak, 15 bayi dan 31 warga emas ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud.

"Mereka dari Kampung Donggoi, Kampung Marajah, Kampung Gunding, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Lebak Moyoh, Kampung Suang Punggur, Kampung Linau, Kampung Lingkodon, Kampung Sembirai, Kampung Bobot, Kampung Menunggui, Kampung Song-song, Kampung Sangkir, dan Kampung Keram Benai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah bersama anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Belud turut mengedarkan peta laluan alternatif di Bulatan Lebak Moyoh, Bulatan Sembirai dan Bulatan Taun Gusi.

"Ia bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan sebagai langkah keselamatan," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 9:18pm
d