mutakhir

Pujukan 3 'ulat'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menahan tiga individu yang terbabit dengan aktiviti mengulat di KL Sentral di sini, semalam.

Pada operasi bermula jam 4 petang, tiga individu berusia 40 tahun hingga 50 tahun ditahan kerana memujuk atau mengulat bagi menawarkan perkhidmatan ‘prebet sapu’ kepada orang ramai serta pelancong asing yang tiba di terminal berkenaan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi dijalankan hasil aduan awam.

“Kami menahan seorang lelaki tempatan bersama kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova. Dia menawarkan perkhidmatan kereta sapu kepada orang awam di sekitar balai ketibaan KL Sentral.

“Seorang lagi suspek adalah pemandu teksi, dia turut mengulat di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Suspek akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat mengikut Seksyen 205(1) dan Seksyen 243 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 4:53am
d